suria

Penganggur Didakwa Sebabkan Kematian Pelumba Basikal Di MRR2

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelumba basikal Rafizi Hamdan, bulan lepas.

Bagaimanapun, Mohd Nabil Azhar Yahya Arif, 20, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Farah Hazwani Osman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang pada 7.45 pagi, 18 Mac mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 dan lesen memandunya boleh digantung, jika sabit kesalahan.

Farah Hazwani membenarkan Mohd Nabil diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen tertuduh digantung sehingga kes selesai dibicarakan. Mahkamah turut menetapkan 21 Mei untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Mohd Nabil yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan masih ditanggung bapanya.

Media sebelum ini melaporkan pelumba basikal berusia 37 tahun itu meninggal dunia selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta ketika berbasikal di MRR2 berhampiran Taman Melawati ke arah Gombak.

Kenderaan itu kemudian meninggalkan tempat kejadian, namun nombor pendaftarannya tercicir di tempat kemalangan.

Allahyarham Rafizi, yang bekerja di CIMB Bank di sini, dilaporkan dalam perjalanan menyertai aktiviti berbasikal bersama anggota Kelab Le Tua di Batu 12, Gombak. - BERNAMA

Artikel Lain