suria

Pemandu Lori Dipenjara Setahun Kerana Pecah Amanah

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan pecah amanah melibatkan kepingan aluminium dan besi bernilai RM250,000.

Hakim Mohd Fadhir Harun memerintahkan Abdul Satar Mohd Ali, 55, dari Klang menjalani hukuman itu bermula Isnin.

Dia terlepas hukuman sebatan kerana berusia 55 tahun.

Abdul Satar didakwa melakukan pecah amanah terhadap kontena berisi 59 kepingan aluminium antara 10.50 pagi dan 3.02 petang pada 27 Jun 2007.

Tertuduh juga didakwa melakukan pecah amanah dengan menjual 55 tan besi bernilai RM119,700.90 yang sepatutnya dihantar ke Pelabuhan Klang di Syarikat Amsteel Mills Sdn Bhd di Solok Waja 2, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang, pada 3.30 petang 31 Mac 2010.

Mengikut fakta kes, Abdul Satar menjual sebahagian besar daripada 59 kepingan aluminium itu di kedai besi buruk di Jalan Kebun Nenas, Kampung Jawa, Klang, sebelum membawa kontena itu ke Pelabuhan Klang.

Kehilangan barang berkenaan hanya disedari oleh pekerja yang melihat muatan itu berselerak sebelum mendapati ia berkurangan daripada jumlah yang sepatutnya.

Bagi kes kedua, penyelia syarikat itu membuat laporan polis selepas menjumpai lori dibawa tertuduh ditinggalkan di pintu masuk Pelabuhan Klang (Selatan).

Ketika kejadian, Abdul Satar ditugaskan membawa 55 tan besi dari Amsteel Mills untuk dihantar ke sebuah gudang.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqeeb Lizalman Nordin Zamery manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain