suria

Peluang Pendidikan Diteruskan Sebagai Bidang Pertumbuhan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peluang pendidikan yang disediakan di dalam negara akan terus menjadi bidang pertumbuhan bagi Malaysia, apabila negara terus mengurangkan pergantungan pada sektor berasaskan sumber dan mengalihkan penekanan Malaysia kepada sektor perkhidmatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan dan sektor swasta kini bekerjasama dan menjadi rakan mengembangkan pendidikan di Malaysia.

Kedua-dua pihak kini menyatukan usaha menjadikan Malaysia satu negara pengeksport utama pendidikan, katanya di dalam pendahuluan Laporan Tahunan 2011 Program Transformasi Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Sasaran kita ialah untuk menjadi negara pengeksport pendidikan ke-enam terbesar di dunia pada 2020 dengan menampung 200,000 pelajar antarabangsa," katanya.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan, berkata NKEA pendidikan telah mencatatkan kemajuan membanggakan di dalam pelaksanaan tahun pertama projek permulaan (EPP).

"NKEA pendidikan sangat fokus pada 2011 bagi mencapai matlamatnya dan berada pada landasan mencapai Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan sasaran pelaburan bagi tahun itu," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata melalui usaha di bawah Inisiatif Pendidikan Malaysia dan Kemahiran Malaysia, Malaysia kini berupaya menarik 94,000 pelajar antarabangsa dengan sasaran kira-kira 100,000 pelajar antarabangsa pada 2012.

Katanya inisiatif di bawah NKEA pendidikan akan melahirkan profesional berkualiti yang akan memenuhi keperluan modal insan bidang ekonomi utama yang lain. - BERNAMA

Artikel Lain