suria

MIC Tidak Akan Mohon Tambahan Kerusi - Palanivel

JITRA: MIC tidak akan memohon tambahan kerusi pada pilihan raya umum ke-13 ini, sebaliknya akan menumpukan kepada usaha merampas semula kerusinya yang jatuh ke tangan pembangkang.

Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel berkata memenangi semula kerusi daripada tangan lawan adalah jauh lebih penting daripada menuntut kerusi tambahan.

MIC juga akan memberi tumpuan lebih kepada Kedah, Perak dan Selangor bagi menarik sokongan pengundi baharu dan golongan 'atas pagar', katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Katanya tiga negeri terbabit mempunyai pengundi kaum India yang ramai dan boleh membantu Barisan Nasional (BN) menawan kembali negeri yang dikuasai pembangkang itu.

Negeri lain tidak diabaikan tetapi MIC mengatur strategi berbeza di tiga negeri ini bagi mendapatkan sokongan pengundi kaum India, kata Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga melihat sokongan kaum India terhadap BN semakin meningkat dan mampu membantu BN mentadbir kerajaan pusat sekali lagi.

Terdahulu, Palanivel menyerahkan bantuan berjumlah lebih RM1.8 juta kepada 47 kuil dan 13 badan bukan kerajaan kaum India dari seluruh Kedah. - BERNAMA

Artikel Lain