suria

Lima Lagi Kem Tentera Adakan Program Pemulihan Masyarakat

SHAH ALAM: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mengenal pasti lima lagi kem tentera bagi melaksanakan Program Pemulihan Pemasyarakatan, satu program penempatan banduan untuk bekerja jika diperlukan.

Lima kem pasti itu bukan sahaja di kem Tentera Darat tetapi juga kem-kem tentera laut dan udara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rapat 1Malaysia: "Peranan dan Cabaran Dalam Merealisasikan Transformasi Negara" di UiTM di sini Isnin.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kem-kem tentera itu.

Setakat ini Kem Tok Jalai, Alor Setar, Kedah; Kem Mahkota Kluang, Johor; Kem Batu 10 dan Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang; Kem Desa Pahlawan, Kelantan, dan Kem Syed Sirajuddin Gemas, Johor, terlibat dengan program yang diperkenalkan pada penghujung 2010.

Program Pemulihan Pemasyarakatan membabitkan penempatan banduan kesalahan kecil dan yang akan keluar penjara tidak lama lagi untuk bekerja di kem tentera bagi tujuan membolehkan mereka berinteraksi dengan masyarakat setempat apabila terdapat aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan.

Ahmad Zahid berkata setakat ini 2,400 banduan telah menyertai program itu dan telah dibebaskan secara berperingkat sejak Mac tahun lepas.

Beliau berkata program berkenaan merupakan satu kejayaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kadar jenayah melalui kerjasama ATM dengan Jabatan Penjara.

"Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri telah sama-sama berjaya melakukan transformasi bagi memulihkan sikap, minda dan perlakuan oleh banduan," katanya.

Ahmad Zahid berkata program pemulihan seperti ini perlu diteruskan kerana bukan sahaja banduan-banduan yang keluar dari program itu dapat dipulihkan tetapi mereka juga dapat diterima semula oleh keluarga dan masyarakat keseluruhan. - BERNAMA

Artikel Lain