suria

Lelaki Maut Ditembak Akibat Dendam, Jadikan Enam Kes Tembak-Bunuh Sejak Januari

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki terbunuh sementara tiga rakannya cedera akibat ditembak di sebuah restoran di Matang Pagar, Desa Jaya, Sungai Buloh semalam yang polis percaya berpunca daripada dendam.

Dengan kejadian terbaru ini, menjadikan enam kes tembak-bunuh akibat dendam di seluruh negara sejak awal tahun ini, dengan mangsa ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, mangsa, S. Parameswaran, 23, keluar menghisap rokok selepas makan di restoran berkenaan bersama tiga rakannya sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang salah seorang daripadanya melepaskan beberapa das tembakan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata Parameswaran yang berasal dari Kuang, mati di tempat kejadian setelah ditembak di bahagian dada serta dua lagi rakannya parah di bahagian dada dan perut manakala seorang lagi cedera di kaki kiri serta tangan kiri.

"Kejadian ini turut dipercayai merupakan permasalahan membabitkan kumpulan samseng yang turut mempunyai kaitan dengan dua mangsa yang cedera parah, yang merupakan bekas tahanan polis," katanya ketika dihubungi.

Abdul Rahim berkata mayat Parameswaran dan kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan diberi rawatan.

Katanya hasil pemeriksaan yang dijalankan Unit Forensik Polis Selangor turut menemui enam kelongsong peluru .9mm dari pistol separa automatik yang digunakan lelaki terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 atau datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan itu," katanya.

Lima lagi kejadian tembak-bunuh yang dilaporkan sejak awal tahun ini bermula pada 10 Jan apabila Koh Seng Seong, 25, mati ditembak di depan pintu masuk sebuah pusat membeli-belah di Taman Sentosa, Johor Baharu, Johor; pada 11 Januari, seorang ahli perniagaan ditembak mati oleh seorang yang tidak dikenali di hadapan sebuah kedai menjual peti deposit selamat dan barangan berkaitannya di Jalan Bako, Sibu, Sarawak dan pada 11 Januari, Wong Ping Yee, 36, mati selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika cuba melarikan diri setelah cedera ditembak dekat taman tema air di Desa Petaling di sini oleh sekumpulan lelaki.

Pada 2 Februari, seorang peniaga, H'ng Kean Boon, 42, yang baru pulang menghantar teman wanitanya maut selepas ditembak oleh salah seorang daripada tiga lelaki tidak dikenali berdekatan Rumah Pangsa Mak Mandin, Butterworth dan pada 12 Mac lalu, seorang operator syarikat keselamatan, V. Nirmal, 30, ditembak mati dipercayai dari jarak dekat dalam pembunuhan yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah secara terancang semasa sedang makan malam bersama rakan-rakannya di sebuah restoran di Jalan Chengkih, Padamaran, Klang. - BERNAMA

Artikel Lain