suria

Karnival Sejuta Belia Sumbang RM110 Juta Kepada KDNK

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menganjurkan Karnival Himpunan Sejuta Belia buat kali kedua, pada 23 hingga 27 Mei depan di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri setiap pengunjung membelanjakan sekurang-kurangnya RM80 ketika berkunjung ke karnival berkenaan pada tahun lalu.

“Program ini turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) berjumlah RM110 juta pada tahun 2011.

“Pada tahun ini kita menyasarkan untuk menjadikan karnival ini antara 10 karnival terbaik di dunia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shabery berkata beberapa buah negara seperti Brunei, Korea, dan China telah mengesahkan penyertaan mereka pada acara tertentu sempena karnival itu nanti.

Terdapat 500 acara disediakan meliputi 38 segmen yang memaparkan penglibatan golongan belia dalam bidang sukan dan rekreasi, seni budaya, kemahiran dan kepimpinan serta teknologi maklumat dan keusahawanan.

“Tema pada tahun ini adalah "Jutaan Peluang Ribuan Keriangan. Kita jangka kira-kira dua juta pengunjung akanberkunjung ke karnival yang akan berlangsung selama lima hari ini.

"Saya jangkakan antara 30 hingga 40,000 pengujung menjalankan aktiviti perkhemahan manakala 20,000 lagi menyertai pertandingan futsal sempena karnival itu," katanya.

Artikel Lain