suria

Karnival Himpunan Sejuta Belia 2011 Beri Impak Besar Kepada KDNK

KUALA LUMPUR: Karnival Himpunan Sejuta Belia 2011, yang berlangsung di Putrajaya tahun lepas, menjana RM110 juta bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Berdasarkan statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, setiap pengunjung membelanjakan sekurang-kurangnya RM80 ketika mengunjungi karnival tiga hari itu, katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Berikutan kejayaan itu, katanya kementerian sekali lagi menganjurkan Karnival Himpunan Jutaan Belia itu tahun ini pada 23 hingga 27 Mei depan dengan beberapa negara seperti Indonesia, Brunei, Korea dan China telah mengesahkan penyertaan bagi acara tertentu.

Menyasarkan untuk menjadi antara 10 karnival terbaik di dunia membabitkan belia, beliau berkata sebanyak 500 acara disediakan meliputi 38 segmen yang memaparkan penglibatan golongan itu dalam bidang sukan dan rekreasi, seni budaya, kemahiran dan kepimpinan serta teknologi maklumat dan keusahawanan.

Bertemakan "Jutaan Peluang Ribuan Keriangan" karnival lima hari itu yang akan diadakan di Putrajaya dijangka mampu menarik lebih dua juta pengunjung, yang meningkat 100 peratus berbanding tahun lepas.

"Saya jangkakan antara 30 hingga 40,000 pengujung menjalankan aktiviti perkhemahan manakala 20,000 lagi menyertai pertandingan futsal sempena karnival itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain