suria

Kapal Peranginan MV Azamara Quest Berlabuh Di Sandakan

SANDAKAN: Kapal peranginan MZ Azamara Quest, yang mengalami kebakaran enjin ketika di perairan Filipina Jumaat lepas, selamat tiba di Pelabuhan Sandakan malam Ahad.

Kapal itu, yang diiringi kapal serta bot Agensi Penguatkuasaa Maritim Malaysia dan Polis Marin, tiba di pelabuhan Sandakan di Karamunting dekat sini pada 8.50 malam.

Bagaimanapun, wakil media tidak dibenarkan memasuki kawasan pelabuhan.

Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 10 bas ekspres dan dua ambulans memasuki kawasan pelabuhan.

Dua ambulans kemudian keluar dari kawasan pelabuhan dan difahamkan hanya seorang anak kapal MZ Azamara Quest dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini kerana masalah pernafasan.

Sehingga berita ini ditulis, bas ekspres masih dilihat berada dalam kawasan pelabuhan dan dipercayai Jabatan Imigresen sedang memeriksa dokumen perjalanan penumpang kapal peranginan itu.

Kapal itu berlayar menggunakan sebuah enjin sahaja selepas yang lain rosak dalam kebakaran ketika berada 180 batu nautika dari selatan Palawan, Filipina.

Kejadian itu juga menyebabkan lima anak kapal MZ Azamara Quest terpaksa dirawat kerana terhidu asap.

Ketika kejadian, kapal yang membawa 560 penumpang dan 411 anak kapal itu dalam pelayaran dari Hong Kong menuju ke Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain