suria

Dasar Gaji Minimum Akan Diumumkan Pada Separuh Pertama Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Dasar gaji minimum dijangka diumumkan dalam separuh pertama tahun ini, sementara peningkatan kemahiran dan penambahbaikan tenaga kerja akan diteruskan, kata Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Dalam laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi 2011, PEMANDU berkata fokus telah diberikan kepada lima sektor: minyak, gas dan tenaga; pelancongan; elektrik dan elektronik; kandungan komunikasi dan infrastruktur; dan perkhidmatan perniagaan.

Selain daripada itu, program MyProCert yang bertujuan meningkatkan kemahiran warga Malaysia ke standard persijilan antarabangsa menyasar untuk melahirkan 5,000 profesional diperakui menjelang 2014.

Sementara itu, PEMANDU berkata 33 syarikat di bawah enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah dikenal pasti bersedia untuk dilepaskan sama ada menerusi penyenaraian, pengurangan saham ataupun dilupuskan terus.

Di bawah rancangan untuk merasionalisasikan portfolio GLC, lima telah dikenal pasti untuk pengurangan saham, tujuh untuk penyenaraian awam dan 21 untuk dilupus terus.

Untuk tahun 2011-2012, 24 syarikat telah dikenal pasti untuk eksesais pelupusan kerajaan dan proses akan bermula memandangkan saham-saham telah mencecah harga yang dipersetujui.

"Setakat hari ini, empat syarikat terdiri daripada empat anak syarikat dalam IPO MSM Holdings Bhd telahpun dilupuskan. Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dijangka berlaku pada Mei 2012," kata laporan itu.

Mengenai inisiatif pembaharuan strategik kewangan awam yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan, PEMANDU berkata paling utama fokus ialah untuk meningkatkan pendapatan kerajaan persekutuan menerusi penambahbaikan pentadbiran cukai dan pematuhan kedua-dua cukai langsung dan tidak langsung.

"Kami menganggarkan RM1.94 bilion akan dikumpulkan pada 2012 selain daripada unjuran pendapatan konvensional yang telah dibuat," katanya.

PEMANDU turut mengulangi komitmennya untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan terus merasionalisasikan subsidi memandangkan banyak daripada pendapatan negara kini datangnya daripada Petronas.

"Kita perlu cukai penggunaan yang meluas, cukai yang dilevikan ke atas aktiviti tambah nilai dengan setiap operasi bersama-sama dengan rantaian pelaksanaan.

"GST tidak akan menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah kerana kebanyakan produk dan perkhidmatan asas akan dikecualikan atau berpenarafan sifar seperti beras, daging mentah, ikan segar, sayur-sayuran, pengangkutan awam domestik dan perkhidmatan penjagaan kesihatan," katanya.

PEMANDU berkata PKS akan ditawarkan insentif untuk mengurangkan kos melaksanakan GST, sambil menambah anggaran pendapatan tambahan ialah RM6 bilion hingga RM10 bilion bergantung kepada kadar cukai GST empat hingga lima peratus.

Mengenai menjurangkan ketidaksamaan pula, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah memilih 30 PKS untuk menjalani Program PKS Bumiputra Prestasi Tinggi, yang memberi fokus memajukan generasi akan datang usahawan kelas dunia.

Dana fasilitasi bernilai RM2 bilion yang diuruskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan TERAJU telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek-projek sektor swasta Bumiputera. - BERNAMA

Artikel Lain