suria

Cerita Detik Cemas Mangsa Letupan Bom Di Hatyai

Gabenor wilayah Songkhla, Grisada Boonrach melawat Ng dan Sangathala di hospital pada Ahad.
Gabenor wilayah Songkhla, Grisada Boonrach melawat Ng dan Sangathala di hospital pada Ahad.
Gabenor wilayah Songkhla, Grisada Boonrach melawat Ng dan Sangathala di hospital pada Ahad.

HATYAI: Ooi Fook Chuan, 33, terlantar di wad ICU di Hospital Rajyindee di sini.

Dia tidak boleh bercakap kerana masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

Namun, keganasan yang disaksikannya sukar dilupakan dan dia mencerita pengalaman menakutkan itu kepada The Star.

Menurut Ooi, dia mengambil bagasinya dari tempat letak kereta di Tingkat B2 di Hotel Lee Gardens Plaza apabila insiden letupan berlaku sehingga menyebabkannya terpelanting.

Isterinya, Wong Sze Ee, 28, hanya mengalami kecederaan ringan.

Dia bernafas menggunakan tangki oksigen dan ditempatkan di wad pesakit luar.

Wong berkata, dia pitam di tempat letak kereta selepas letupan berlaku dan tempat kejadian dipenuhi dengan asap hitam.

"Saya dalam ketakutan. Saya dan suami bersembunyi di bawah tangga. Terdapat lubang udara di sana yang membekalkan kami dengan udara segar dari luar.

"Selepas menjerit untuk meminta tolong kira-kira sejam, saya terdengar bunyi tapak kaki dari tempat letak kereta di tingkat atas. Kami menaiki tangga dan menjerit sekuat hati.

"Ada seseorang ternampak kami dan mencampakkan beberapa botol air mineral. Kami kemudiannya diselamatkan," kata Wong.

Terdapat seorang lagi wanita dari Malaysia yang berada di wad berasingan di hospital tersebut yang identitinya masih belum dikenal pasti.

Choo Kok Boon, 46, dari Kuala Lumpur bersiar-siar di sebuah pusat membeli belah bersama isterinya warga negara Thailand selepas mereka terkena serpihan kaca yang berterbangan.

Dia dimasukkan ke dalam wad pesakit luar di Hospital Rajyindee di sini kerana mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki.

Sepasang suami isteri dari Kuala Kedah turut melecur di beberapa anggota badan. Lew Kim Lai, 39, dan isterinya, Lim Hock Bee, 37, tidak boleh bercakap ketika ditemui di Hospital Songkhlanagarind.

Lew yang melecur 70 peratus di badannya berada di wad ICU manakala Lim, melecur di bahagian muka dan dimasukkan ke wad biasa.

Dua lagi wanita dari Melaka, K. Sangathala, 33, dan Mini Ng, 35, dibenarkan keluar dari hospital pada Ahad. Sangathala berkata, dia keluar dari biliknya di tingkat 16 sebaik saja terdengar bunyi letupan.

Pihak pengurusan hotel kemudiannya memberitahu pelanggannya supaya berkumpul di kawasan kolam renang di tingkat 12, katanya.

"Terdapat kira-kira 200 hingga 300 orang berkumpul di situ. Kami menunggu selama dua hingga tiga jam sebelum diselamatkan," katanya.

Sekurang-kurangnya 27 rakyat Malaysia antara 416 orang yang cedera dalam letupan itu.

Artikel Lain