suria

Asean Bergerak Ke Arah Satu Komuniti Satu Tujuan

PHNOM PENH: Pemimpin Asean dijangka terus memperkukuhkan persiapan kumpulan itu untuk mencapai matlamat tunggalnya membentuk satu komuniti dalam tempoh kurang tiga tahun, ketika bertemu di sini untuk sidang kemuncak serantau selama dua hari bermula Selasa.

Pemimpin 10 negara anggota itu akan membuat susulan terhadap kemajuan yang dicapai pada pelan untuk menubuhkan Komuniti Asean menjelang 2015 pada Sidang Kemuncak Asean ke-20, di Peace Palace di sini.

Bertemakan "Asean: One Community, One Destiny" (Asean: Satu Komuniti, Satu Tujuan), mesyuarat menyasarkan kepada penambahbaikan tiga keutamaan Asean dengan Kemboja selaku pengerusi, termasuk memastikan kemajuan yang signifikan dalam usaha merealisasikan Komuniti Asean.

Agenda lain ialah memastikan reka bentuk dan persekitaran serantau kekal kondusif bagi pembangunan dan peningkatan peranan Asean pada peringkat global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu.

Beliau akan disertai pemimpin Asean lain ketika sidang pleno selepas acara perasmian pada pagi Selasa, disusuli mesyuarat pemimpin Asean dengan wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean, Organisasi-organisasi Masyarakat Awam dan wakil belia.

Hasil sidang kemuncak ini ialah Deklarasi Phnom Penh mengenai "Asean: One Community, One Destiny", Dokumen Kedudukan Asean bagi Sidang Kemuncak G-20 Mexico 2012, Deklarasi Pemimpin Asean mengenai Asean Bebas Dadah 2015 dan Dokumen Konsep mengenai Gerakan Kesederhanaan Global.

Selain itu, menteri luar Asean akan menandatangani dokumen instrumen bagi menyelesaikan pertelingkahan iaitu 'Instrument of the Rules for Reference on Non-Compliance to the Asean Summit to the Protocol to the Asean Charter on Dispute Settlement Mechanisms'.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Asean perlu menyelesaikan segala pertelingkahan dalam konsep Asean didahulukan dan semangat Asean.

"Anggota Asean lebih memahami satu sama lain dalam menyelesaikan pertelingkahan berbanding merujuknya kepada pihak lain yang mungkin tidak memahami rantau ini dengan baik," katanya.

"Mereka mesti bekerjasama erat untuk menyelesaikan masalah secara bersama terlebih dahulu melainkan memang tiada jalan lain," katanya.

Anifah berkata jika pertelingkahan membabitkan anggota kumpulan dengan negara bukan anggota, Asean wajar membincangkan isu itu sebagai satu kumpulan dengan negara bukan anggota terbabit.

Dalam menyelesaikan tuntutan bertindih di Laut China Selatan membabitkan Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei, China dan Taiwan misalnya, perbincangan harus diadakan di antara Asean dan China, bukan Malaysia dan China atau Filipina dan China sahaja.

"Kita perlu mengambil kira kepentingan anggota lain juga," katanya.

Beliau berkata pemimpin Asean juga dijangka menyentuh situasi di Myanmar serta isu nuklear di Korea Utara pada sidang kemuncak itu nanti.

Sidang akan ditangguhkan pada Rabu dan satu sesi penutup akan diadakan.

Selain itu, Najib juga dijadual menghadiri sidang keenam rantau pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) serta Kawasan Pertumbuhan Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina-Asean Timur (BIMP-EAGA) ke-8. - BERNAMA

Artikel Lain