suria

Anggota Geng Samun Restoran Makanan Segera Ditahan

KUALA LUMPUR: Empat daripada lima suspek yang dipercayai menyamun sebuah restoran makanan segera di Pasaraya Tesco, Kepong pagi Ahad ditahan kira-kira 16 jam selepas kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata suspek berumur antara 18 dengan 20 tahun ditahan kira-kira 11 hingga 12 malam tadi hasil maklumat orang ramai.

Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru, Sungai Buloh. Seorang lagi suspek tiada di rumah itu ketika serbuan dilakukan.

Dalam kejadian samun 7 pagi itu, suspek melarikan wang tunai RM2,300 ketika kakitangan restoran itu sedang membuat persediaan membuka perniagaan pada hari tersebut.

"Kita masih mengesan seorang lagi suspek. Identitinya kita sudah kenal pasti. Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan dan juga bekas pekerja restoran makanan segera itu," kata Zakaria dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Isnin.

Beliau berkata ketika menyamun, dua daripada suspek berpakaian seragam restoran makanan segera itu serta bertopeng dan bersenjata parang dan pisau.

Empat kakitangan restoran diikat bersama-sama dua pengawal keselamatan dan seorang tukang cuci warga asing. Mereka turut melarikan tujuh telefon bimbit mangsa.

Dua suspek turut dilaporkan terperangkap di dalam premis itu setelah pintu automatik telah tertutup dan terpaksa dibuka daripada luar selepas dua suspek berkenaan menghubungi tiga lagi rakan mereka yang berada di tempat lain untuk meminta bantuan sebelum kesemua mereka berjaya melarikan diri.

Zakaria berkata dengan tertangkapnya empat suspek tersebut, polis menemui semula tujuh telefon bimbit, wang tunai kira-kira RM600 dan polis percaya berjaya menyelesaikan tiga lagi kes samun premis restoran segera di sekitar Petaling Jaya, Kepong dan Sungai Buloh.

Keempat-empat suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 396 Kanun Keseksaan kerana menyamun. - BERNAMA

Artikel Lain