suria

Amah Myanmar Perlu Sesuai Diri Dengan Budaya Hidup Di Malaysia - Mama

KUALA LUMPUR: Aspek penyesuaian diri dengan persekitaran budaya dan cara hidup bermasyarakat di Malaysia perlu ditekankan dalam pertimbangan kemasukan amah Myanmar ke Malaysia, kata Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi.

"Ada banyak perbezaan dari segi bahasa dan budaya terutamanya kebolehan membuat tugas harian rumah dan sebagainya. Pengambilan amah Myanmar juga perlu lebih kepada tanggungjawab melakukan kerja dan tidak hanya melakukan satu tugas sahaja," katanya kepada Bernama, Isnin.

Beliau diminta mengulas tentang kenyataaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa di Myanmar bahawa Malaysia sedia memberi peluang kepada rakyat Myanmar yang mendaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) untuk menjadi pembantu rumah.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo menyambut baik kenyataan Perdana Menteri itu.

"Ini kerana rakyat Myanmar pernah bekerja di Singapura sebagai pembantu domestik dan mereka mempunyai prestasi yang baik. Jadi tidak salah jika mereka diberi peluang," katanya.

Namun beliau berkata sebelum diterima berkhidmat sebagai amah, mereka perlu dilatih untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan masyarakat setempat. - BERNAMA

Artikel Lain