suria

Air Asia X Catat Jualan Tiket Kukuh Pada Laluan Sydney - KL

MELBOURNE: Ketua Eksekutif Air Asia Azran Osman-Rani gembira dengan jualan tiket yang kukuh sejak Januari bagi perkhidmatan baharu antara Sydney dan Kuala Lumpur.

Syarikat penerbangan kos rendah itu mengumumkan permulaan perkhidmatan baharu itu pada Januari.

Azran, yang turut tiba di dalam penerbangan sulung ke Sydney dari Kuala Lumpur, pada Isnin berkata respons yang baik itu memberi harapan bagi diwujudkan perkhidmatan harian digandakan tidak lama lagi.

Tempahan awal menunjukkan faktor muatan kira-kira 80 peratus bagi operasi bulan pertama, katanya kepada pemberita.

Rakyat Australia telah membeli separuh daripada 100,000 tempat duduk yang dijual, lapor Australian Associated Press (AAP).

Baru-baru ini, Air Asia X telah menggugurkan sektor laluan seperti London, Paris dan Christchurch dari rangkaiannya.

Bagaimana pun, Australia, yang dikatakan Azran negara paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan itu, diunjurkan mencatatkan pertumbuhan melalui peningkatan kekerapan ke destinasi sedia ada Melbourne, Sydney, Perth dan Gold Coast.

Perkhidmatan Air Asia X ke Adelaide juga sedang dirancang.

Sebelum Isnin, Malaysia Airlines merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan Kuala Lumpur-Sydney.

Bagaimana pun, Air Asia X dan MAS akan berhadapan persaingan hebat bagi mendapatkan pelanggan pengembara antara Asia dan Australia, apabila syarikat penerbangan berkos rendah, Scoot, memulakan perkhidmatan harian Sydney-Singapura.

Azran berkata cara bagi syarikat penerbangan berkos rendah seperti Air Asia X bagi meneruskan kesinambungan untuk menjadi gantian yang boleh diterima bagi penumpang yang kebiasaannya terbang dalam perkhidmatan penerbangan penuh. - BERNAMA

Artikel Lain