suria

68 Pengeluar Makanan Setuju Letak Ikon Pek Hadapan Untuk Tenaga - Liow

PUTRAJAYA: Seramai 68 anggota Kumpulan Pengeluaran Makanan Malaysia dari Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM MAFMAG)bersetuju meletakkan Ikon Pek Hadapan Untuk Tenaga pada produk makanan dan minuman sebagai panduan kepada pengguna merancang pengambilan tenaga harian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkara itu merupakan salah satu komitmen pihak industri dalam menangani masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit di Malaysia.

"Ikon ini dapat mendidik dan memberi gambaran yang cepat kepada rakyat mengenai kandungan kalori dalam sesuatu produk. Ia akan memudahkan mereka mengawal pengambilan tenaga mengikut keperluan," katanya pada sidang media, di sini Isnin.

Katanya perkara itu sudah dilaksanakan namun akan mengambil masa bagi pengguna melihat ikon terbabit pada produk berkenaan kerana melibatkan pembungkusan semula.

Beliau berkata kementerian itu juga akan memperkenalkan Ikon Pek Hadapan untuk protein, karbohidrat dan lemak dalam tempoh terdekat.

"Kita perkenalkan dulu untuk tenaga kerana tenaga merupakan salah satu komponen utama dalam produk makanan dan minuman.

"Pengambilan tenaga yang melebihi keperluan harian individu merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada berat badan yang berlebihan dan obesiti dan ia merupakan satu permulaan kepada penyakit-penyakit lain seperti darah tinggi dan diabetes," katanya.

Liow yakin lebih ramai pengeluar makanan akan tampil untuk melaksanakan Ikon Pek Hadapan secara sukarela.

"FMM MAFMAG akan memaklumkan Kementerian Kesihatan bagi setiap suku tahun mengenai penglibatan pengeluar makanan dan produk di pasaran yang meletakkan Ikon Pek Hadapan," katanya.

Sementara itu, Liow berkata pihak industri telah memberikan komitmen untuk menghasilkan dan mempromosikan lebih banyak produk makanan dan minuman yang lebih sihat di pasaran.

"Antaranya ialah kurang gula, kurang garam atau sodium, kurang lemak serta tinggi sarat untuk rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain