suria

Program Masuk Kampung Basmi Kemiskinan, Daftar OKU

KULIM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menganjurkan Program Jom Masuk Kampung dalam usaha membasmi kemiskinan tegar dalam masyarakat di samping mendaftar Orang Kurang Upaya (OKU) mulai bulan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Heng Sei Kei berkata program itu yang bermula di kawasan Parlimen Padang Serai pada Ahad akan disertai pemimpin pelbagai kaum di setiap lokasi dengan tumpuan kepada usaha mendaftar OKU.

"Bilangan OKU seluruh negara berdaftar dengan kementerian sehingga ini hanya 350,000 orang tetapi angka yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah pada kadar 10 peratus daripada jumlah 28.6 juta rakyat di negara ini atau 2.8 juta orang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada masyarakat India dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas di sini petang Sabtu.

Pada majlis itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tujuh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dalam kawasan DUN Lunas masing-masing menerima bantuan RM3,000.

Heng berkata selain OKU, golongan miskin yang mungkin tercicir dan layak mendapat bantuan melalui beberapa skim anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan didaftarkan.

Beliau berkata program itu akan menitikberatkan skim pembayaran bantuan bulanan kepada kalangan golongan miskin tegar dan mereka yang menerima pelbagai bantuan daripada JKM.

"Biasanya para penerima bantuan akan dibayar secara dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing tetapi melalui program ini mereka akan dibayar secara tunai," katanya.

Beliau berkata program Jom Masuk Kampung itu akan diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh terdekat. - BERNAMA

Artikel Lain