suria

Polis Tahan Sembilan Suspek Kes Culik Di Seri Kembangan

SHAH ALAM: Sembilan individu termasuk seorang Inspektor polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang pengurus projek di tapak pembinaan di kawasan perindustrian Seri Kembangan 22 Mac lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata sembilan suspek berumur antara 26 dan 48 tahun itu ditahan di Kajang dan Rawang semalam sebaik mangsa dibebaskan pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pegawai polis berusia 43 tahun itu, yang mempunyai rekod jenayah lampau telah digantung kerja sejak tahun 2010, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Ahad.

Beliau berkata polis turut menemui semula wang tebusan sebanyak RM275,850 dan merampas beberapa buah kereta, antaranya Proton Gen 2, Honda Odyssey dan Proton Waja, sebuah motosikal, sebuah treler, parang, topeng, kad Touch n Go dan Smart Tag daripada suspek.

"Kami hanya menemui semula RM275,850 daripada sejumlah RM300,000 yang dibayar oleh bapa mangsa," katanya.

Lelaki berusia 34 tahun itu diculik pada 22 Mac semasa dalam perjalanan untuk meninjau tapak pembinaan di Seri Kembangan.

Laporan polis mengenai penculikan itu dibuat oleh bapa mangsa pada pukul 11 pagi hari yang sama mangsa diculik.

Suspek membawa mangsa ke Rawang dan mengurungnya di sebuah rumah di sana.

Mereka kemudian meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta, dan jumlah itu dikurangkan kepada RM300,000 selepas berunding dengan bapa mangsa, yang juga rakan kongsi perniagaan dengan anaknya.

Tun Hisan berkata tiga daripada sembilan lelaki terbabit, termasuk pegawai polis itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 7 April bagi membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain