suria

Polis Kelantan Tahan Lelaki Disyaki Ketua Sindiket Dadah

KOTA BAHARU: Polis menahan seorang lelaki disyaki ketua sindiket penyeludupan dadah dari negara jiran dan merampas pil kuda dan heroin bernilai RM111,000 di Kampung Kok Bedollah, Pengkalan Kubur, Tumpat, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Supt Amran Ramli berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya di kampung itu hasil maklumat orang ramai pada 3.50 petang.

Katanya, berikutan penahanan lelaki itu, polis merampas tiga buah kereta yang kesemuanya bernilai RM70,000 yang dipercayai digunakan lelaki itu untuk menjalankan kegiatannya.

"Kita percaya lelaki itu bekas penagih dadah yang mempunyai rekod kesalahan lampau dan pernah ditahan di Pusat Pemulihan Dadah di Machang, adalah ketua sindiket menyeludup dadah yang dianggotai tujuh orang, termasuk tiga yang masih bebas dan tiga lagi ditahan sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Katanya, polis juga menyita wang tunai berjumlah RM4,210 dipercayai hasil pengedaran dadah tersebut.

Menurutnya, lelaki berasal dari Kampung Geting, Pengkalan Kubur itu pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2008.

Lelaki yang bekerja sendiri itu dilaporkan dibebaskan daripada tahanan itu pada September tahun lepas.

Katanya, polis juga sedang mengesan tiga lagi anggota sindiket itu yang dipercayai sedang menyembunyikan diri.

Amran berkata dengan tertangkapnya lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes melibatkan penyeludupan dadah dari negara jiran dan pengedaran dadah terutama di kawasan Tumpat. - BERNAMA

Artikel Lain