suria

Najib Mengadakan Perbincangan Dengan Jiabao Di Nanning

NANNING: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao pada lawatan kerja sehari beliau ke sini pada Ahad.

Ini merupakan perbincangan ketiga antara kedua-dua pemimpin sejak lawatan Jiabao ke Kuala Lumpur pada April lepas.

Mereka sekali lagi bertemu di ibu negara provinsi Guangzi yang terletak di selatan negara ini lima bulan lepas apabila kedua-dua mereka merasmikan Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2011.

Perbincangan dalam suasana mesra dan santai itu mencerminkan komitmen kedua-dua pemimpin untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China.

China kini adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan melebihi US$54 bilion (RM165.3 bilion) tahun lepas.

Selepas perbincangan itu, Najib dan Jiabao menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) usahasama antara dua syarikat Malaysia iaitu Rimbunan Hijau Group dan SP Setia Berhad dan dua syarikat China, Chian Guangxi Beibu Gulf International Port Group dan Qinzhou Jingu Investment Company.

Najib dan Jiabao makan tengah hari bersama sebelum berlepas ke Qinzhou bagi menghadiri majlis pelancaran Taman Perindustrian Qinzhou (QIP), projek usahasama antara China dan Malaysia.

Taman perindustrian itu, kawasan seluas 55 km persegi dekat Pelabuhan Bebas Qinzhou menghadap Teluk Beibu, akan dibangunkan dalam tiga fasa bagi tempoh 15 tahun.

Pelabuhan Qinzhou merupakan pelabuhan di China yang terletak paling dekat dengan negara-negara Asean.

Pembangunan taman itu akan menumpukan, antara lain, kawasan perumahan, kilang perindustrian, pejabat dan bangunan komersil.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Khas Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting.

Terdahulu, setiausaha parti provinsi Guangxi Guo Shengkun dan Gabenor Ma Biao mengunjungi Najib.

Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di sini awal pagi Ahad dari Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain