suria

Masuk Syurga Hanya Dijanjikan Allah Kepada Manusia Beriman - Jamil Khir

YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata masuk syurga hanya dijanjikan oleh Allah swt kepada manusia yang beriman dan bertakwa dan tidak pernah dijanjikan kepada manusia yang menyokong parti politik tertentu.

"Syurga ini bukan milik manusia tetapi milik Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis Ceramah Politik Semasa di Kampung Selengkoh di sini, Sabtu malam.

Oleh yang demikian, katanya kenyataan kononnya sesiapa memberi sokongan dan mengundi PAS akan masuk syurga hanya satu janji kosong yang dilakukan semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat barau-baru ini bahawa PAS tetap dengan pendirian meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan aspek syurga apabila seseorang itu menyokong parti tersebut ketika pilihan raya.

Pada majlis ceramah itu, seramai 20 penyokong PAS menyerahkan borang untuk menyertai Umno.

Mereka yang diketuai Md Sofi Abd Latif menyerahkan borang kepada Jamil Khir yang juga Ketua Penerangan Umno Kedah.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Muhammad Shuhaimi Abdullah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail. - BERNAMA

Artikel Lain