suria

Letupan Di Hat Yai: Seorang Rakyat Malaysia Masih Hilang - Anifah

PHNOM PENH: Seorang rakyat Malaysia dilaporkan masih hilang dalam kejadian letupan bom di Hat Yai pada Sabtu, dan kerajaan Malaysia pada Ahad menasihati rakyat agar mengelak daripada mengunjungi wilayah selatan Thailand tanpa sebab kukuh.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihak berkuasa Thai sudah menjalankan ujian DNA ke atas satu mayat yang tidak dikenali dan keputusannya akan diketahui pada Isnin.

"Kami masih tidak tahu keadaan rakyat Malaysia yang hilang itu dan identiti mayat yang tidak dikenali yang dijumpai di kawasan kejadian," katanya kepada kumpulan wartawan Malaysia, di sini pada Ahad.

Beliau mengesahkan seorang rakyat Malaysia terbunuh dan 27 lagi cedera termasuk 10 mengalami kesan terbakar yang serius antara 30 hingga 50 peratus.

Sepuluh mangsa terbabit masih dirawat di tiga hospital di selatan Thailand ekoran kesukaran bernafas dan lain-lain kecederaan berkaitan.

Yang terbunuh dikenal pasti sebagai Low Thian Hock, 46, dari Kulim, Kedah.

Mereka yang parah pula ialah Lew Kim Lai, 39, Lim Hock Bee, 37, Wong Sze Ee, 32, Fook Hock Chuan, 33, Chiaw Pui Pui, 32, Chiaw Pui Hoon, 34, Chiaw Pui See, 33, Choo Kok Boon, 46, Sagunthala a/p Krishnan, 34, dan Mini Ng, 35.

Seramai 17 lagi diberi rawatan pesakit luar.

Seramai 10 orang terbunuh manakala lebih 300 cedera dalam serangan bom di Lee Garden Hotel di Hat Yai pukul 1 tengah hari waktu tempatan pada Sabtu.

Anifah berkata, siasatan awal pihak berkuasa Thai mendapati bom diletakkan pada dua buah motosikal, sebuah kereta dan pikap yang diletak di kawasan parkir hotel.

Pada awalnya pihak berkuasa menyangka letupan berpunca daripada kebocoran gas namun merumuskan kejadian akibat letupan selepas menemui sisa bahan kimia selepas melakukan siasatan.

Anifah berkata, waris semua mangsa telah dimaklumkan dan kerajaan akan membantu mempermudahkan perjalanan jika mereka berhasrat menziarahi anggota keluarga yang cedera.

Katanya, semua keperluan perubatan dan kos bagi rakyat Malaysia yang cedera akan ditanggung pihak berkuasa Thai.

Beliau juga menasihati waris agar tidak berusaha membawa pulang saudara mereka yang cedera pada masa ini memandangkan kecederaan yang dialami tidak membenarkan mangsa dipindahkan.

Anifah juga akan mendapatkan penjelasan daripada rakan sejawatannya dari Thailand Dr Surapong Tovichakchaikul malam Ahad bagi menentukan sama ada keadaan adalah selamat bagi rakyat Malaysia berkunjung ke selatan Thailand susulan insiden itu.

Menteri luar Asean berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean esok dan Sidang Kemuncak Asean pada hari berikutnya. -BERNAMA

Artikel Lain