suria

Remaja Maut Kereta Terbabas Langgar Pokok Di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok besar di Km 57.5 Jalan Alor Setar-Butterworth, di hadapan hospital lama di sini awal pagi Sabtu.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa Ng Chong Pei, 18, yang memandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah pada seluruh bahagian badan akibat tersepit di tempat duduk.

"Mangsa, yang berasal dari Taman Melati di sini, bersama seorang kawan lelakinya dipercayai dalam perjalanan dari arah Lagenda Heights di sini.

"Kawannya pula cedera ringan dan kita belum dapat maklumat diri kawan mangsa ini selengkapnya. Ia masih dalam siasatan tetapi jika dilihat umur lebih kurang sama," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Katanya, kejadian itu berlaku dipercayai kerana kereta itu dipandu laju dan apabila tiba di satu selekoh Ng hilang kawalan sehingga terbabas lalu melanggar pokok.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat manakala rakannya yang cedera ringan itu dirawat di wad pemerhati di hospital yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain