suria

Najib Adakan Lawatan Kerja Ke China Esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Nanning dan Qinzhou, di Wilayah Guangxi, China esok bagi mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatan beliau dari China, Wen Jiabao. Kenyataan Kementerian Luar Sabtu menyebut perbincangan itu akan menyentuh isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama antara dua negara.

Lawatan ini akan mendatangkan impak sosio-ekonomi yang positif serta kebaikan yang membawa hubungan antara Malaysia dan China ke tahap yang lebih tinggi.

Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting serta pegawai kanan dari Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pejabat Perdana Menteri dan agensi kerajaan lain yang terlibat.

Menurut kenyataan itu acara kemuncak lawatan adalah pelancaran rasmi Taman Industri Qinzhou (QIP) China-Malaysia oleh Najib dan Wen.

Cadangan untuk mewujudkan taman industri yang meliputi kawasan seluas 55 kilometer dibincangkan semasa lawatan kerja Wen ke negara ini pada 28 April tahun lepas.

Kejayaan merealisasikan projek ikonik ini dalam tempoh yang singkat mempamerkan usaha gigih kedua-dua negara dalam meningkatkan serta mengeratkan lagi hubungan ekonomi dua hala, kata kenyataan itu lagi.

QIP merupakan tanda kejayaan kerjasama dalam hubungan dua hala ekonomi antara Malaysia dan China yang berperanan sebagai pintu masuk bagi syarikat serta produk Malaysia untuk menembusi pasaran pengguna domestik China yang luas di samping menjana peluang ekonomi kepada usahawan kedua-dua buah negara.

Selama tiga tahun berturut-turut, China merupakan rakan dagangan Malaysia yang terbesar mewakili 13.2 peratus daripada jumlah nilai dagangan dunia Malaysia.

Menurut kenyataan itu, tahun lepas jumlah nilai dagangan Malaysia dan China bernilai US$54.53 bilion (RM166.86 bilion) berbanding US$45.50 bilion (RM146.5 bilion) pada tahun 2010. -BERNAMA

Artikel Lain