suria

Kontraktor Rugi RM7,000 Rumah Dimasuki Penjenayah Bersenjata

KUANTAN: Tiga beranak melalui saat cemas apabila kediaman mereka di Kampung Jambu, Beserah di sini dimasuki dua lelaki bersenjatakan kuku kambing dan alat penggerudi awal pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran berkata dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa, seorang kontraktor bersama isterinya serta anak perempuan mereka berumur 16 tahun, turut diikat menggunakan wayar telefon.

"Kontraktor dan isterinya, kedua-dua berusia 40-an, diikat bersama anak perempuan mereka di bilik tidur utama. Dua suspek yang menutup muka dengan kain memasuki rumah melalui tingkap bilik anak mangsa," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata suspek mengumpil tingkap rumah berkenaan sebelum masuk dan mengejutkan anak mangsa yang sedang nyenyak tidur.

"Suspek kemudiannya mengejutkan mangsa suami isteri dan mangikat mereka tiga beranak di bilik tidur utama sebelum menggeledah kediaman mereka," katanya.

Kata Narenasagaran, suspek terbabit melarikan barang kemas, tiga buah telefon bimbit, jam tangan dan wang tunai RM2,000 dengan kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM7,000.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek kemudiannya melarikan diri melalui pintu tepi rumah terbabit.

"Mangsa sekeluarga berjaya melepaskan diri sebelum pergi ke Balai Polis Beserah untuk membuat laporan kira-kira pukul 4 pagi," katanya.

Artikel Lain