suria

Kerja Naik Taraf Di KLIA Untuk Airbus A380 Siap Sepenuhnya

SEPANG: Kerja-kerja menaik taraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kos RM116.8 juta untuk disesuaikan dengan Airbus A380, pesawat komersial terbesar setakat ini, telah siap sepenuhnya.

Kerja-kerja menaik taraf berkenaan termasuk landasan, ruang pesawat bergerak, kekuatan turapan, keperluan perkhidmatan darat, jambatan udara ketiga dan lounge menunggu. Pengurus Besar KLIA Mohammad Suhaimi Abdul Mubin berkata proses pembinaan bermula pada 3 April, 2006 dan siap pada 28 Feb, 2007.

"Pesawat A380 memerlukan tiga jambatan udara antipelanggaran untuk penumpang untuk masuk dan keluar daripada pesawat ke atau dari pintu lounge menunggu.

"Pesawat lain biasanya memerlukan dua jambatan udara tetapi bagi pesawat A380 jambatan udara tambahan disediakan untuk penumpang dek atas," katanya kepada pemberita yang meninjau kesediaan lapangan terbang itu, Jumaat.

"Program latihan dan suai kenal pesawat A380 dijadual diadakan pada Jun tahun ini sebagai persediaan petugas di lapangan terbang dan kakitangan Malaysia Airlines, supaya mereka sedia sepenuhnya untuk mengendalikan pesawat baharu itu," katanya.

Lounge menunggu dua dek untuk A380 itu meliputi kawasan seluas 1,600 meter persegi, mempunyai 12 televisyen, sembilan telefon awam dan enam tempat duduk keutamaan untuk orang kelainan upaya.

Lounge menunggu boleh memuatkan 450 hingga 480 penumpang pada satu-satu masa dengan kawasan berasingan untuk ketibaan dan berlepas. Pesawat A380 diperuntukkan di tiga pintu iaitu C17, C27 and C37.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Malaysia Airlines Hayati Ali berkata penyerahan pesawat berkenaan dijangka pada Jun 2012, manakala penerbangan sulung ke London bermula 1 Julai, 2012.

Penyerahan lima lagi pesawat Airbus A380 dijadualkan pada Julai, Ogos, Oktober, Disember tahun ini serta Februari 2013. - BERNAMA

Artikel Lain