suria

Kerajaan Yakin Dapat Kekalkan Tenaga Kerja Mahir Tempatan Bekerja Di Malaysia

TASEK GELUGOR: Kerajaan yakin dapat mengekalkan rakyat Malaysia yang berkemahiran untuk tinggal dan bekerja di negara ini susulan pelbagai langkah yang diambil bagi membangunkan kebolehan dan meningkatkan produktiviti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata selain mewujudkan TalentCorp Malaysia bagi menarik rakyat Malaysia di luar kembali bekerja di tanah air, kerajaan juga membangunkan sumber dalam negara.

"Adalah amat penting bagi kita untuk membangun dan membentuk kemahiran serta mengekalkan mereka di sini selama mungkin dengan gaji yang bagus serta suasana bekerja yang menarik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Koridor Utara SkillMalaysia 2012, di sini, Sabtu.

Karnival dua hari itu dianjurkan bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan Jabatan Pembangunan Kemahiran wilayah utara, menawarkan kira-kira 8,500 peluang pekerjaan.

Nor Mohamed berkata karnival itu bagi membangunkan kemahiran terutama untuk menyokong usaha kerajaan dalam mencapai 40 peratus pekerja berkemahiran menjelang 2020 berbanding 28 peratus sekarang

Katanya kira-kira 70,565 peluang pekerjaan akan terhasil daripada Koridor Utara sehingga tahun 2020 dengan 28 projek permulaan meliputi sektor pelancongan (23,208), perkilangan (21,104), pertanian (2,637) dan logistik (23,626). -BERNAMA

Artikel Lain