suria

Kementerian Penerangan Bantu Sediakan Senarai Pemandu Teksi Untuk Perlindungan Insurans

KOTA KINABALU: Kementerian Penerangan Komunikasi dan kebudayaan akan menyediakan senarai sahih pemandu teksi di seluruh negara dalam masa terdekat bagi membantu mereka mendapatkan perlindungan insurans semasa menjalankan tugas di lapangan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ini bagi memastikan setiap pemandu teksi yang 'langsung tidak ada liputan insurans' dapat dibantu untuk memperoleh perlindungan insurans.

"Saya lihat pemandu teksi kita tidak ada perlindungan insurans. Sebab itu, kita perlu dapatkan senarai sahih ini, sekurang-kurangnya apabila berlaku kecederaan atau kemalangan, nasib mereka (pemandu teksi) terbela termasuk diberi bantuan perubatan atau sedikit sagu hati.

"Jika semuanya berjalan lancar, kita akan kemukakan (senarai itu) kepada pihak berkuasa atau jemaah menteri (untuk memutuskannya)," katanya.

Rais berkata demikian ketika merasmikan program 'Penghayatan 1Malaysia' bersama sekitar 250 anggota Pertubuhan Pemandu, Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) zon Sabah dan Labuan di Lintasan Deasoka, di sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Khazali Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Ibrahim Abdul Rahman.

Rais berkata apabila urusan insurans pemandu teksi itu selesai, beliau akan memaklumkan kepada anggota PETEKMA dan persatuan teksi yang lain bentuk bantuan munasabah yang akan diberikan.

Pada majlis itu, Rais turut mengumumkan bantuan kewangan RM20,000 untuk membiayai kos pentadbiran PETEKMA cawangan Sabah.

"Ini adalah permulaan kepada banyak lagi bantuan kerajaan untuk pemandu teksi di Sabah," katanya.

Rais berkata kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengutamakan kepentingan pemandu teksi, dan pelbagai insentif diberikan kepada mereka demi kebaikan bersama.

Sehubungan itu, beliau meminta pemandu teksi di negeri ini supaya terus menyokong kerajaan sedia ada demi kesinambungan pembangunan pengangkutan awam negara. - BERNAMA

Artikel Lain