suria

Isu Moral: Jika PAS Berdiam Diri, Jelas Parti Itu Terpesong - Bekas Setiausaha Sulit Anwar

KUALA LUMPUR: Jika PAS mengambil sikap berdiam diri berhubung isu mana-mana pemimpin yang didakwa mempunyai masalah moral, jelas sekali menunjukkan parti itu telah terpesong jauh dalam menyatakan kebenaran, kata bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.

Beliau berkata isu tersebut merupakan permasalahan ummah yang memerlukan ilmuwan Islam bersuara bagi menjelaskan keadaan.

Katanya Pas juga perlu memberikan penjelasan jika mereka mengambil tindakan berdiam diri.

"Penting bagi Pas untuk menjelaskan kenapa mereka berdiam diri.

"Adakah kerana ia melibatkan rakan-rakan mereka? Adakah juga kerana Pas lebih mementingkan undi untuk diraih berbanding dengan menyatakan kebenaran," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Pada Khamis, Anuar telah meminta mana-mana ilmuwan Islam termasuk Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan penjelasan berhubung persoalan yang sama berikutan isu itu didakwa menjadi satu tanda tanya di kalangan umat Islam di negara ini.

Katanya isu itu perlu diberikan penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam berikutan pada masa ini telah wujud aliran pemikiran yang meremehkan persoalan akhlak. - BERNAMA

Artikel Lain