suria

Cadangan Ambil Amah Myanmar Disambut Baik - Pikap

PETALING JAYA: Agensi pembantu rumah mengalu-alukan cadangan untuk mengambil warga Myanmar sebagai amah tetapi menyedari bahawa rakyat dari negara itu perlu menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat di Malaysia.

"Majikan perlu bersabar dan faham kerana ia memerlukan sedikit masa sebelum mereka boleh menyesuaikan diri dengan budaya, makanan, agama dan bahasa di negara ini," kata Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan.

Beliau berkata, apa yang lebih penting bagi majikan adalah untuk memahami perkara tersebut bagi mengelakkan kes penderaan dan penganiayaian.

Tambah beliau, pembantu rumah dari Myanmar harus dipilih dengan sebaiknya dan dilatih untuk memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersedia mempertimbangkan cadangan untuk mengambil warga Myanmar yang didaftarkan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) sebagai pembantu rumah.

Najib berkata, kerajaan akan memberi peluang kepada warga Myanmar untuk mengatasi masalah kekurangan pembantu rumah di Malaysia.

Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah ke negara ini pada 2009 diikuti Kemboja secara mengejut pada Oktober lalu.

Walaupun pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ditarik balik akhir tahun lepas, majikan masih lagi menunggu untuk mendapatkan khidmat mereka.

Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo berkata, majikan dan agensi perlu berhadapan dengan kes pembantu rumah 'melarikan diri'.

"Berdasarkan pengalaman kami, amah dari Myanmar mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri daripada majikan.

"Walaupun Myanmar merupakan alternatif kepada amah Indonesia, kebanyakan majikan memilih warga Indonesia kerana tiada halangan dalam berkomunikasi," katanya.

Artikel Lain