suria

Polis Tahan 14 Suspek Termasuk Dua Wanita Terlibat Kes Pecah Rumah

KUALA LUMPUR: Dua belas lelaki dan dua wanita yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan menjadikan kondominium mewah sebagai sasaran diberkas polis dalam dua operasi pada 16 hingga 28 Mac lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata kesemua suspek yang berumur 18 hingga 35 tahun itu ditahan di Klang, Selangor, Jalan Pasar Kuala Lumpur, dan Batu Caves bersama-sama barang yang dipercayai hasil pecah rumah bernilai jutaan ringgit.

"Dalam tangkapan pertama di sebuah rumah di Taman Berkelay, Klang pukul 9 pagi, 16 Mac, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita. Empat hari kemudian, kami menahan dua lagi, seorang daripadanya wanita di Jalan Pasar di ibu negara, pukul 12.30 tengah hari," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Mohmad berkata hasil tangkapan itu polis merampas barang-barang yang dipercayai hasil pecah rumah antaranya 25 utas rantai leher, lima utas rantai tangan, wang tunai RM17,000, 30 loket, lapan utas gelang, 12 utas rantai kaki, 25 bentuk cincin, serangkai anak kunci dan peralatan pecah rumah.

Beliau berkata tangkapan itu adalah hasil tindakan polis selepas menerima laporan pecah rumah sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara pada 11 Mac pukul 6.30 petang.

"Dalam kejadian itu, mangsa dan suaminya dikatakan terserempak dengan empat lelaki yang berada di dalam rumah mereka. Suspek mengikat suami serta ayahnya yang berada di rumah itu sebelum mengarahkannya membuka 'peti simpanan' di rumah terbabit dan melarikan barangan bernilai lebih RM1.5 juta," katanya.

Mohmad berkata dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis percaya telah menyelesaikan 30 kes pecah rumah di ibu negara, Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau berkata dua daripada lima yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berhubung pecah rumah dan dadah dan kesemua mereka kini direman sehingga 4 April.

Sementara itu, polis menahan tujuh anggota pecah rumah di Batu Caves, Selangor pada 19 dan 28 Mac serta merampas seketul emas yang dilebur bernilai kira-kira RM18,000, lima bilah parang, sebilah pisau, tujuh keping nombor pendaftaran kenderaan, lima helai 'skin mask' dan peralatan pecah rumah berupa kuku kambing.

Polis turut menemui semula tiga kereta jenis BMW, Mercedes dan MyVi yang ditinggalkan di tepi jalan oleh kumpulan itu, katanya dan memberitahu bahawa seorang daripada yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata polis kini memburu dua lagi anggota kumpulan itu iaitu M.Indra, 26, dan K.Mahendran, 28, yang masing-masing tinggal di Selayang Baru Batu Caves bagi membantu siasatan kes samun. - BERNAMA

Artikel Lain