suria

Pemilik Pub Dipenjara Sehari, Denda RM5,000 Beri RM604 Kepada Pegawai Polis

SHAH ALAM: Seorang pemilik pub dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat selepas mengaku bersalah memberi wang tunai RM604 kepada seorang pegawai polis, Oktober tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin juga memerintahkan M.Subramaniam, 45, dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Subramaniam didakwa memberi wang kepada ASP Mohamad Sajidan Abdul Sukor bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di MGL Pub 87, Jalan Rengas Off Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pukul 11.50 malam pada 26 Okt tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Mohamad Sajidan bersama pegawai dan anggota polis dibantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang menjalankan 'Ops Noda' untuk mempastikan pusat hiburan beroperasi dengan lesen dan tiada unsur jenayah dalam perniagaan.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tertuduh sedang bermain judi terup bersama rakan-rakannya dan sejumlah wang turut dilihat berada di atas meja.

Dia gagal mengemukakan lesen hiburan dan lesen perniagaan menyebabkan Mohamad Sajidan mengarahkan premis berkenaan disita serta memberitahu tertuduh bahawa dia juga akan ditahan kerana berjudi.

Subramaniam merayu untuk dilepaskan lalu memberi wang kepada pegawai polis itu menyebabkan dia ditangkap dan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM Mahamad Sukri Abu Seman sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain