suria

Pemilik Agensi Pembantu Rumah Dipenjara 3 Tahun, Perdagang Dua Wanita Warga Filipina

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik agensi pembantu rumah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat selepas didapati bersalah memperdagangkan dua wanita warga Filipina tanpa membayar gaji mereka, empat tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan warga Singapura Eugene Lim Beng Huat gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Lim yang menghadapi dua pertuduhan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula Jumaat.

Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan peguam Tan Wee Yee, yang mewakili tertuduh, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau memerintahkan jumlah jaminan tertuduh sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dinaikkan kepada RM50,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga selesai rayuan.

Mengikut pertuduhan Lim, 40, didakwa memperdagangkan Marivic Relon Capistrano, 35, bagi maksud eksploitasi di No 18, Jalan Metro Perdana Barat 15, Kepong dekat sini pada pukul 5 pagi, 30 Jun 2008.

Dia turut didakwa bagi pertuduhan yang sama terhadap Marilou De La Cruz Bagsit, 37, di tempat dan pada masa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada perbicaraan itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Zulkifli mengemukakan seramai lima saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan mengemukakan lapan saksi termasuk tertuduh. - BERNAMA

Artikel Lain