suria

Malaysia Timbang Ambil Amah Myanmar

NAYPYITAW: Malaysia sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengambil warga Myanmar yang didaftarkan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) sebagai pembantu rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ketika pertemuan dengan Presiden Myanmar Thein Sein pada Rabu, beliau dimaklumkan bahawa lebih 250,000 warga Myanmar berjaya didaftarkan secara biometrik pada program berkenaan baru-baru ini.

Najib yang berada di Myanmar sempena lawatan kerja dua hari yang berakhir Khamis, berkata, Malaysia akan memberi peluang kepada mereka untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana rakyatnya yang sopan.

"Kita perlu berunding lebih lanjut mengenai kertas cadangan itu. Kita tidak tahu terma dan syarat tetapi jika ianya dipersetujui, kami sedia mempertimbangkannya," kata Najib.

Najib berkata, tidak sukar untuk meneruskan kertas cadangan itu jika rakyat Myanmar boleh menyesuaikan diri dengan budaya dan corak kehidupan di Malaysia.

"Perkara ini akan diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam," katanya.

Ketika ditanya, Subramaniam berkata, perbincangan untuk mengambil pembantu rumah dari Myanmar melibatkan beberapa perkara termasuk keselamatan.

Difahamkan, Myanmar mempunyai polisi yang ketat berhubung pengambilan pekerja wanita dari negara itu dan bilangan rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah amat kecil.

Artikel Lain