suria

LHDN Pulangkan Semula Borang Tidak Lengkap Mulai Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulangkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang tidak lengkap kepada semua pembayar cukai mulai tahun ini.

LHDN dalam satu kenyataan pada Khamis berkata langkah itu berikutan terdapat sebilangan pembayar cukai yang mengambil mudah menghantar BNCP yang tidak lengkap.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 268,709 BNCP tidak lengkap diterima pada 2011, berbanding 317,991 bagi tahun 2010, satu jumlah yang masih tinggi dan perlu diatasi segera.

"Pembayar cukai hendaklah mengembalikan semula BNCP yang telah lengkap kepada Jabatan Pemprosesan Maklumat, LHDN Malaysia di Pandan Indah, Kuala Lumpur sebelum 30 April 2012 (bagi Borang BE) dan 30 Jun 2012 (bagi Borang B) bagi mengelak penalti lewat hantar dikenakan ke atas mereka," katanya.

Pembayar cukai juga disaran menggunakan kemudahan e-Filing serta m-Filing bagi mengelak masalah borang tidak lengkap.

LHDN juga mengingatkan majikan bahawa tarikh akhir mengemukakan Borang E Saraan bagi 2011, iaitu Penyata Oleh Majikan, adalah pada 31 Mac 2012.

Kegagalan mengemukakan borang ini pada atau sebelum 31 Mac adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, dan boleh dikenakan denda minimum RM200 dan makimum RM2000 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya sekali, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain