suria

Kontraktor Didenda RM12,000 Cuba Beri RM42,200 Kepada Pegawai Kanan APMM

SHAH ALAM: Seorang kontraktor didenda RM12,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat selepas mengaku bersalah cuba memberi wang tunai RM42,200 kepada seorang penolong pengarah bahagian penguatkuasaan Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Putrajaya bulan lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah juga memerintahkan tertuduh, Tiew Beng Lee, 47, dari Pandamaran, Pelabuhan Klang, dipenjara 12 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Tiew didakwa cuba memberi wang kepada Wan Burhanuddin Jusoh, 53, sebagai dorongan untuk melepaskan lapan buah bot kayu bakau milik tertuduh yang ditahan oleh APMM kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 84 (a) Akta Perhutanan Negara 1984 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Brass Cafe, Hotel Crystal Crown, Jalan Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 3.15 petang pada 1 Februari lepas.

Tiew didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 30 Jan lepas, sebanyak lapan buah bot ditahan dalam satu operasi melibatkan APMM, Jabatan Hutan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jeti Shahpadu, Pelabuhan Klang, kerana dibawa masuk dari Indonesia tanpa Surat Kebenaran Import (AP).

Kesemua bot berisi kayu bakau berkenaan disita serta ditahan di Pusat Tahanan Vessel di Teluk Nipah, Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 oleh Jabatan Hutan.

Tertuduh kemudian meminta bantuan Wan Burhanuddin untuk membebaskan kesemua bot dan kayu bakau itu serta menawarkan RM40,000 dan pengadu bersetuju untuk berjumpa tertuduh di tempat kejadian.

Tiew kemudian ditahan pihak SPRM ketika dia cuba menyerahkan wang tunai RM42,200 kepada pegawai APMM itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM Mahamad Sukri Abu Seman. - BERNAMA

Artikel Lain