suria

Filipina Sambut Baik Hukuman Ke Atas Pesalah Kes Perdagang Wanita

KUALA LUMPUR: Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Jumaat menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang pemilik agensi pembantu rumah selepas didapati bersalah memperdagangkan dua wanita warga Filipina, empat tahun lepas.

Duta Besar Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, terutamanya Jabatan Peguam Negara dan polis atas kerjasama yang kukuh dalam kempen memerangi pemerdagangan orang.

"Keadilan akhirnya menang," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan warga Singapura itu, Eugene Lim Beng Huat, menjalani hukuman itu secara serentak.

Lim, 40, didakwa memperdagangkan Marivic Relon Capistrano, 35, dan Marilou de la Cruz Bagsit, 37, bagi maksud eksploitasi di No. 18, Jalan Metro Perdana Barat 15, Kepong, dekat sini pada 5 pagi, 30 Jun, 2008.

Kedua-dua pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 12 Antipemerdagangan orang dan Akta Antipemerdagangan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain