suria

Warga Emas Rugi RM4,000 Ditipu Lelaki Dakwa Boleh Ubati Anak Daripada Mati

MELAKA: Seorang wanita berusia 75 tahun merupakan mangsa terbaru kes pukau dengan teknik penipuan yang digunakan hampir serupa.

Wong Sau Yoke berkata dia telah menemui seorang wanita yang berpura-pura sedang mencari pengamal perubatan tradisional yang dihormati.

Ketika sedang berbual dengannya, seorang lagi wanita yang tidak dikenali menyertai perbualan tersebut dan memberitahu Wong yang satu sumpahan bakal berlaku ke atasnya dan hanya sifu (tok gurunya) dapat menyelamatkannya.

Kedua-dua wanita berkenaan membawa Wong ke sebuah tempat di Jalan Portugis untuk menemui sifu mereka.

“Selepas membaca beberapa mantera, lelaki tersebut memberitahu anak bongsu lelaki saya sedang sakit dan akan mati dalam tempoh tiga hari sekiranya saya membiarkannya sahaja,” katanya kepada The Star dalam satu temubual pada Rabu.

Wong mempercayai lelaki tersebut kerana anak bongsunya, yang berusia lewat 40 an pada ketika itu memang sedang sakit.

Lelaki tersebut menyuruhnya balik ke rumah dan membawa barang kemas serta wang simpanan yang diletakkan dalam sebuah plastik beg bagi untuk dia menjalankan upacara sembahyang.

“Saya ikut apa yang diarahkan. Selepas melakukan upacara sembahyang dan doa, lelaki tersebut memulangkan kembali beg plastik itu kepada saya. Dia memberi ingatan supaya saya hanya boleh membuka beg plastik tersebut selepas beberapa hari,” kata Wong.

Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di rumahnya Wong memutuskan untuk membuka beg plastik tersebut namun dia sangat terkejut apabila di dalamnya hanya terdapat dua botol mineral yang dibungkus dengan menggunakan surat khabar. Barang kemas serta wang simpanannya yang bernilai hampir RM4,000 telah hilang.

Wong segera membuat laporan polis berhubung insiden tersebut yang berlaku Ahad lepas.

Di Kuala Lumpur, Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata wanita merupakan golongan majority yang menjadi mangsa penipuan oleh geng pukau.

“Selalunya wanita lebih percaya kepada unsure-unsur tahyul daripada lelaki. Mereka fikir mereka akan dapat bantuan daripada medium tersebut terutamanya ketika mereka menghadapi masalah keluarga,” katanya kepada The Star.

Menceritakan beberapa kes yang pernah beliau temui, Chong berkata paling teruk adalah mangsa akhirnya mengadakan hubungan seks dengan sifu yang didakwa dapat menyelesaikan masalah peribadinya.

Beliau berkata pada 2010, terdapat satu kes di mana lelaki yang mendakwa dirinya sifu telah menahan seorang wanita di tengah jalan dan mendakwa ‘wanita tersebut mempunyai aura yang negatif dan nasib malang bakal menimpanya.

“Lelaki tersebut mendakwa dia mempunyai kuasa serta aura yang boleh mengubah nasib malang wanita tersebut. Namun dia berkata hanya terdapat satu jalan untuk memindahkan aura tersebut adalah dengan mengadakan hubungan seks dengannya,” kata Chong.

Sebaliknya, daripada mendapat nasib yang lebih baik, daripada pengalamannya,Chong berkata wanita tersebut ditinggalkan dengan penyakit seksual yang diperolehi daripada lelaki tersebut.

“Saya beritahu wanita itu dia cukup bernasib baik kerana dia tidak dijangkiti virus HIV. Tahun lalu juga saya mendapat aduan kes yang hampir serupa berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Chong berkata pada tahun ini biro aduannya kurang mendapat aduan daripada orang ramai.

Pada 2010, sebanyak 15 kes dicatatkan berbanding tahun lalu, hanya lima kes sahaja yang dilaporkan kepada kami. Chong berkata beliau telah mendapat laporan hanya satu kes sahaja dilaporkan setakat ini pada tahun ini.

“Saya yakin tahap kesedaran dikalangan masyarakat semakin meningkat dan pihak polis juga telah melakukan tugas yang bagus kerana mereka telah berjaya memberkas geng yang melakukan penipuan ini.

“Tidak ada benda yang jatuh daripada langit. Masyarakat perlu berubah dan mereka tidak boleh percaya dengan kumpulan atau individu yang mendakwa mereka boleh menyelesaikan masalah peribadi kita,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain