suria

Tujuh NGO Felda Mahu Penyenaraian Felda Global Ventures Dipercepat

KUALA LUMPUR: Tujuh NGO Felda mahu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia dipercepatkan dengan alasan langkah itu membawa manfaat yang besar kepada negara.

Tujuh badan itu terdiri daripada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Gabungan Pemikiran Profesional Felda (Gaprof), Alumni Asrama Felda Malaysia (AAFM), Ikatan Seni dan Kebudayaan Anak Felda (ISKAF), Kelab Sahabat Bina Negara, Permuafakatan Siswa Siswi Felda (PERSADA) dan Kelab Veteran Komando Malaysia yang mewakili lebih 200,000 warga Felda.

Presiden AAFM Abdul Malik Jalil, yang bercakap bagi pihak kesemua NGO itu, berkata mereka membantah campur tangan pihak luar yang cuba mengeksploitasi isu penyenaraian FGVH untuk kepentingan politik masing-masing.

Beliau berkata satu memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok bagi meminta supaya penyenaraian itu dipercepatkan.

"Dengan penyenaraian ini, generasi muda Felda bersama FGVH akan dapat berkongsi kepakaran melakukan transformasi Felda serta dapat memberi impak yang besar kepada Felda untuk tempoh masa 50 tahun yang akan datang," kata Abdul Malik.

Ahli panel Gaprof, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, FGVH mampu menjadi antara 20 syarikat gergasi negara yang disenaraikan di bursa saham.

"Kita berharap proses penyenaraian ini dipercepatkan untuk mengambil peluang perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa yang mampu menjana pendapatan yang cukup besar kepada negara," katanya.

Presiden Kelab Sahabat Bina Negara, Mohamad Khairudin Mohamad, berkata dengan penyenaraian ini, agenda transformasi dapat ditambah baik secara berterusan bagi mengangkat martabat Felda serta generasinya.

Tujuh NGO itu akan mengumpul tandatangan sokongan penyenaraian itu daripada warga Felda yang akan menghadiri Karnival Ikatan Hati Warga Felda Kebangsaan di Dataran Merdeka selama tiga hari mulai esok untuk diserahkan kepada Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain