suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Tanjung Malim

IPOH: Tiga maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta di km 114 Jalan Behrang-Slim River dekat Tanjung Malim awal pada Rabu.

Mereka yang maut ialah pemandu lori, Abu Bakar Saleh, 51, dan Koy Kay Huang, 34, serta seorang kelindan lori yang identitinya belum dikenalpasti.

Yang parah ialah pemandu kereta Abdul Aziz Anthony, 57, dan seorang wanita dipercayai isterinya yang hanya dikenali sebagai Sulistiawati, 40.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Othman Nayan berkata dalam kejadian pada pukul 3.40 pagi itu, lori yang dipandu Abu Bakar yang dalam perjalanan dari Behrang ke Tanjung Malim dikatakan bertembung dengan lori yang dipandu Koy dari arah bertentangan.

Abdul Aziz yang memandu kereta Perodua Viva dan mengekori lori Abu Bakar gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang lori itu, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata Abu Bakar yang berasal dari Kampung Batu Pancing, Kuantan mati di tempat kejadian manakala Koy yang berasal dari Melaka dan kelindan lori itu mati dalam perjalanan ke Hospital Slim River.

Abdul Aziz yang cedera parah di badan dan kaki dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala Sulistiawati dirawat di hospital Slim River, katanya.

Othman berkata anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain