suria

Tiada Peruntukan Lucut Kelayakan Anwar

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat tidak memperuntukan mekanisme tertentu bagi membolehkan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dilucutkan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada yang digubal sejak 1960 tidak mengandungi prosedur seumpama itu.

"Kita kena berpandukan kepada tiga perkara iaitu peraturan, undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan bagi mencabar kelayakan seseorang.

"Bagaimanapun tiada satu daripada tiga perkara ini yang memberi ruang atau peluang untuk mencabar kelayakan terhadap sesiapa.

"Justeru itu, mekanisme tertentu perlu difikirkan untuk tujuan berkenaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang bercadang membawa usul di Dewan Rakyat bagi mencabar kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berikutan pelbagai dakwaan salah laku seks termasuk mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.

Ditanya sama ada wujud peruntukan Dewan Rakyat yang boleh digunakan bagi memenuhi maksud demikian berhubung masalah peribadi Anwar, Wan Junaidi berkata perkara tersebut tidak berlaku dalam dewan.

Katanya, peruntukan Dewan Rakyat menerusi Peraturan Mesyuarat hanya terhad kepada perilaku serta percakapan seseorang Ahli Parlimen sewaktu di dalam dewan.

"Misalnya tindakan mahu menggantung Ahli Parlimen, ia perlu membabitkan tindakan Ahli Parlimen di dalam dewan. Di luar dewan tidak boleh diambil kira, melainkan terlibat dengan kes jenayah atau derhaka kepada negara.

"Bagaimanapun apabila melibatkan kes jenayah atau derhaka kepada negara, tindakan hanya akan diambil apabila kes selesai dibicarakan di mahkamah. Sekiranya didapati besalah, dikehendaki membayar denda dan dihukum penjara, barulah keguguran keahlian (Parlimen) boleh berlaku tetapi ia juga perlu dibawa ke dalam dewan untuk dibahas terlebih dahulu kerana tidak boleh berlaku secara automatik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain