suria

SPR Belum Laksana Persempadanan Semula - Nazri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum melaksanakan proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang didakwa pembangkang.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya hanya akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR sedang melaksanakan kerja-kerja pentadbiran sebagai persiapan awal untuk memulakan kajian urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan DUN yang diputuskan untuk dilaksanakan hanya selepas PRU-13.

"SPR adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam melaksanakan urusan persempadanan semula dan SPR tidak pernah melanggar peruntukan itu.

"Maka dakwaan yang mengatakan SPR melaksanakan persempadanan semula walaupun tidak mendapat majoriti 2/3 Dewan Rakyat adalah tidak benar kerana urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri belum lagi dilaksanakan oleh SPR," katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Selain itu Mohamed Nazri berkata kerajaan tidak berhasrat menubuhkan satu lagi suruhanjaya bagi memastikan pilihan raya di negara ini bersih dan adil.

Menurut beliau, kewujudan SPR sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas sudah terbukti apabila berjaya mengendalikan 12 pilihan raya umum bagi semenanjung dan Sabah.

"Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan suruhanjaya lain bagi memastikan pilihan raya akan datang bersih kerana SPR sudah wujud sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas dan berwibawa yang mana sejak penubuhannya pada tahun 1957 sehingga kini, SPR telah menyempurnakan 12 Pilihan Raya Umum (PRU) bagi Semenanjung dan Sabah.

"Manakala Sarawak sebanyak 10 PRU DUN telah dilaksanakan. SPR juga telah berjaya menjalankan 184 Pilihan Raya Kecil sejak 3 Februari 1962 sehingga 6 Mac 2011," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa warga asing dapat mengundi, Mohamed Nazri berkata hal berkenaan tidak timbul kerana Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hanya warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun layak mengundi.

Tegas Mohamed Nazri, Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 menyatakan bahawa hanya pengundi berdaftar berhak untuk mengundi dalam suatu pilihan raya Parlimen atau pilihan raya Negeri.

"Tambahan pula, tidak ada warga asing yang didaftar sebagai pemilih kerana pengesan utama yang digunakan dalam menentukan kelayakan permohonan sebagai pemilih ialah kad pengenalannya.

"Ketika proses pendaftaran pemilih melalui Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang diguna pakai oleh SPR, pengenalan pemohon akan dihubung kait dengan (dengan izin) Agency Link-Up System (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"ALIS yang mempunyai 33 jenis tapisan atau semakan wajib bagi setiap permohonan, akan menolak permohonan mereka yang bukan warganegara untuk didaftar sebagai pemilih," katanya.

Bagimanapun Mohamed Nazri berkata SPR mengalu-alukan maklumat berhubung dakwaan pendatang asing diberi hak mengundi bagi membolehkan pihak suruhanjaya tersebut menjalankan siasatan lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain