suria

Sesi Perbincangan Menambah Baik Akta Perkahwinan Dan Perceraian Akan Diadakan

KUALA LUMPUR: Satu sesi pertemuan dengan pihak berkepentingan akan diadakan bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan kepada Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976 bagi memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada segi pemberian nafkah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata kementerian akan berunding dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)memandangkan bidang kuasa berhubung Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 adalah di bawah JPN.

Selain itu, beliau berkata kementerian berpandangan bahawa penguatkuasaan nafkah kepada isteri atau bekas isteri dan anak-anak boleh dilaksanakan melalui Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968.

"Ini kerana Akta ini telah memberikan kuasa kepada Mahkamah di bawah Seksyen 4, Akta ini untuk membuat perintah tahanan pendapatan suami bagi maksud pembayaran nafkah kepada isteri dan anak-anak.

"Akta ini telah diguna pakai di mahkamah-mahkamah di Semenanjung Malaysia, termasuk Mahkamah Syariah," katanya ketika menjawab soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang ingin tahu mengenai pindaan Akta Perkahwinan dan Perceraian yang akan dibuat.

Sementara itu, Heng berkata kementerian memperuntukkan RM50 juta kepada Jabatan Bantuan Guaman tahun lepas untuk membantu golongan wanita dan kanak-kanak yang menghadapi masalah perceraian.

Katanya, wanita yang menghadapi masalah perceraian ataupun melalui proses perceraian boleh memohon bantuan guaman serta merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara menunggu kes mereka diselesaikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain