suria

Rakyat Kedah Malang, Pakatan Pembangkang Berebut Kuasa - Ahmad Bashah

ALOR SETAR: Perebutan kuasa di Kedah antara parti-parti dalam pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana gabungan mereka terbentuk atas asas yang rapuh, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Mereka (pemimpin pakatan) sedang mengalami sindrom mahu berkuasa, sebab itu mereka berebut untuk menjadi calon," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata dalam kalangan pemimpin PAS timbul krisis untuk merebut kerusi Menteri Besar manakala antara parti dalam pakatan pembangkang pula berlaku perebutan kerusi. "Malang bagi rakyat Kedah kerana pemimpin pembangkang berebut kuasa yang akan digunakan untuk kepentingan sendiri dan bukannya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat negeri Kedah," katanya.

Ahmad Bashah berkata pakatan yang dibentuk oleh pembangkang itu tidak mempunyai asas setiakawan yang kuat dan hanya berpaksi kepada kepentingan parti masing-masing. "Sebab itulah apabila mereka berkrisis mahu merebut kerusi di Kedah, saya tidak hairan kerana kita semua tahu pakatan mereka amat rapuh kerana masing-masing ada agenda tersendiri," katanya.

Beliau berkata ini berlainan dengan BN kerana walaupun ia dibentuk oleh gabungan pelbagai parti, BN mempunyai asas perjuangan yang jelas serta mempunyai semangat kesetiaan yang kuat.

"Saya berharap krisis demi krisis yang tidak pernah padam dalam kerajaan Kedah menjadi pembuka mata kepada rakyat untuk menilai parti mana yang layak menerajui negeri ini pada pilihan raya umum akan datang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain