suria

PSC Sedia Bentang 22 Cadangan Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan sistem pilihan raya sedia diedarkan kepada semua Ahli Parlimen pada Isnin depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, laporan yang mengandungi 22 cadangan tersebut mengambil kira tiga elemen utama iaitu perlu disegerakan, penting serta boleh dilaksanakan.

"Laporan yang akan diedarkan tersebut adalah embargo sehingga saya membentangkannya di Dewan Rakyat kemungkinan pada Selasa atau Rabu depan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir PSC di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Sementara itu Ongkili berkata, beliau yakin cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam laporan berkenaan boleh dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Menerusi laporan berkenaan ada cadangan-cadangan yang dipersetujui sebulat suara dan ada yang kami setuju untuk tidak bersetuju.

"Saya yakin ini adalah laporan yang cukup menyeluruh serta boleh dilaksanakan dalam masa terdekat sesuai dengan peruntukan undang-undang," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang memberi amaran untuk menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 sekiranya lapan tuntutan mereka sebelum ini tidak dipenuhi, Ongkili berharap agar semua pihak tidak membuat tanggapan awal sebelum ia dibentangkan.

"Kita harap mereka jangan buat rumusan terlalu awal. Malah sebelum ini kami telah beri peluang kepada Bersih untuk turut serta dalam usaha ini.

"Dan saya akui bahawa kami telah terima banyak input berguna daripada Bersih. Saya fikir mereka perlu lihat dahulu laporan itu sebelum apa-apa penilaian dibuat.

"Saya berharap agar semua pihak yang berhadapan dengan kami walaupun tidak berpuas hati...tetapi harus mengambil kira juga cabaran PSC yang hanya diberi enam bulan untuk bertugas," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain