suria

Polis Tahan Pencuri Kereta Selepas Terlibat Dalam Kemalangan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki, anggota kumpulan curi kereta di Lembah Klang, selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya di Ara Damansara di sini, awal hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata lelaki terbabit ditahan pada pukul 5.30 pagi selepas polis melihatnya menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di Bandar Utama.

"Apabila melihat polis yang membuat rondaan itu, lelaki berusia 23 tahun itu dengan segera menaiki kereta Proton Waja yang dicuri dan dia bersama dua lagi rakannya menghala ke Kelana Jaya.

"Polis mengejar kereta Proton Waja itu dan mereka berhenti di Kelana Jaya sebelum ketiga-tiga mereka menaiki sebuah kereta lain, Toyota Vios yang juga dicuri," katanya kepada ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata kereta yang dinaiki tiga lelaki terbabit hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan. Seorang lelaki ditahan manakala dua lagi rakannya melarikan diri.

Siasatan awal polis mendapati motosikal yang dinaiki lelaki itu dilapor dicuri di apartment Kayu Ara, Damansara awal pagi semalam, manakala dua kereta yang diguna lelaki terbabit dilapor dicuri baru-baru ini.

Polis kini memburu tiga lagi anggota kumpulan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya menghubungi balai polis berhampira. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain