suria

Penggabungan MAS-AirAsia Mampu Kurangkan Kos Operasi - Awang Adek

KUALA LUMPUR: Penggabungan MAS-AirAsia mampu mengurangkan kos operasi kedua-dua syarikat penerbangan itu terutama dari segi latihan dan katering, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Beliau berkata pihak kementerian telahpun mengadakan pertemuan dengan pengurusan MAS yang memberi jaminan kepentingan pekerjanya akan terpelihara, selain memastikan matlamat untuk meningkatkan kewangan MAS dapat dicapai.

Awang Adek menegaskan demikian malam Rabu semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata malah pihak pengurusan MAS telahpun menandatangi perjanjian bersama (CA) dengan kesatuan sekerjanya mengenai kenaikan gaji para pekerjanya sebanyak lima peratus walaupun MAS rugi.

Menyentuh dakwaan bahawa pembahagian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibuat oleh parti politik, Awang Adek berkata ini tidak benar. Pengagihan itu adalah urusan kerajaan 100 peratus.

Bagaimanapun kerajaan tidak menghalang mana-mana pemimpin masyarakat untuk hadir membantu menyerahkan sumbangan, asalkan ia disertai pegawai kerajaan dan pegawai dari institusi perbankan, katanya.

Beliau berkata bantuan rakyat sebanyak RM500 itu juga turut disalurkan melalui pejabat kerajaan, pejabat daerah, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Awang Adek berkata, secara keseluruhan pembahagian BR1M berjalan lancar kecuali beberapa kes terpencil seperti penerima terpaksa berulang-alik ke jabatan tertentu untuk mengesahkan penerimaan bantuan.

Keadaan itu amat dikesali kerajaan.

Beliau menambah tujuan diadakan penyerahan BR1M pada hujung minggu bagi mengurangkan masalah kepada penerima yang terpaksa memohon cuti.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Richard Riot semasa menggulung perbahasan mengenai kementerian itu berkata surat-surat yang ditulis oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Israel tidak mencerminkan Malaysia ada hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Sebaliknya merupakan usaha Tun Dr Mahathir dalam mencari penyelesaian yang terbaik dalam isu penindasan rakyat Palestin, katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sentiasa konsisten dan tidak pernah menyokong penindasan Isreal terhadap Palestin, dan sentiasa mengecam tindakan negara itu yang melanggar undang-undang antarabangsa.

"Saya ingin menegaskan kerajaan Malaysia tidak pernah dan tidak akan menyokong Israel yang sentiasa menindas masyarakt Palestin.

"Malaysia antara negara yang pertama di dunia yang mengiktiraf kerajaan Palestin. Ini terbukti apabila pejabat pertubuhan kebebasan Palestin ditubuhkan di Malaysia sejak 1974 dan telah dinaik taraf ke Kedutaan Besar Palestin pada 1983," katanya.

Dewan bersidang lagi pada Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain