suria

Majlis Profesor Negara Perlu Bantu Jelas Isu Lynas

PUTRAJAYA: Majlis Profesor Negara (MPN) perlu tampil membantu kerajaan menjelaskan kekeliruan rakyat mengenai isu-isu berbangkit seperti isu kilang pemprosesan nadir bumi Syarikat Lynas Corporation Ltd di Gebeng, Kuantan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata memandangkan MPN dianggotai ahli akademik dan pakar dalam sesuatu bidang, mereka perlu memperlihatkan peranan sebagai badan pemikir kepada masyarakat.

"Penglibatan mereka tidak dapat dielakkan kerana dengan ilmu yang ada ia dapat membantu rakyat mengetahui perkara sebenar dan terus tidak terpengaruh dengan usaha pihak tertentu yang mengeksplotasi isu tersebut," katanya.

Selagi rakyat masih keliru dengan isu Lynas bermakna peranan yang dimainkan MKN belum cukup meluas, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama MP Ndan menyampaikan watikah pelantikan barisan Exco baru MPN bagi 2012 hingga 2014 di sini, Khamis.

Isu kilang itu mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak membantah pembinaannya yang dikatakan yang dikatakan bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

MPN ditubuhkan pada 1 April 2010 dan kini dianggotai kira-kira 1,700 profesor institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mohamed Khaled berkata MPN juga perlu lebih proaktif untuk menyedarkan masyarakat bahawa penglibatan profesor yang pakar dalam sesuatu bidang mampu membantu menyelesaikan sesuatu masalah.

Beliau juga menggalakkan penglibatan ahli akademik daripada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam MPN untuk memperkasakan lagi peranan badan pemikir itu.

"Ini kerana setakat ini hanya seramai 200 ahli profesor IPTS yang menyatakan minat untuk menyertai badan tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain