suria

Hukuman Penjara Peguam Pecah Amanah Akaun Pelanggan Dikurangkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan seorang bekas peguam bagi kesalahan melakukan pecah amanah membabitkan RM69,041.90 milik pelanggannya, 12 tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan tersebut selepas menolak permohonan Jeyapalan T.S. Mahesan, 59, dari Brickfields untuk mengetepikan sabitan itu kerana berpendapat rayuannya lebih kepada penafian semata-mata. Bagaimanapun, tempoh hukuman penjara Jeyapalan dikurangkan dari tujuh kepada lima tahun, berkuat kuasa pada Rabu, selepas mahkamah mengambil kira faktor usia dan kesihatan tertuduh.

Hakim Ghazali juga membenarkan permohonan Jeyapalan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan mengekalkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Pada 26 Nov 2009, Jeyapalan dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah terhadap akaun Lee Hock Seng, seorang peniaga restoran makanan Jepun, di 24-2, Jalan Telawi 3, Bangsar Baru antara 3 Mac dan 4 Mac 1998, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, serta boleh juga didenda.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala Jeyapalan mewakili diri sendiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain