suria

Empat Warga China Mangsa Dera Majikan Diselamatkan Polis

BALIK PULAU: Empat wanita warga negara China yang menjadi mangsa dera majikan sejak tiga tahun lepas, sehinggakan seorang daripada tidak tahan dan mengancam untuk membunuh diri, diselamatkan polis malam Selasa.

Kesemua wanita berusia 23 hingga 38 tahun itu mendakwa tidak menerima gaji penuh sejak bekerja sebagai tukang urut di pusat refleksologi di Queensbay, Bayan Baru, selain mengalami penderaan mental oleh majikan mereka.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zin berkata polis menerima laporan mengenai seorang daripada wanita itu yang mahu terjun dari jejantas Jalan Aziz Ibrahim, Bayan Baru, pada 3/30 petang semalam kerana tidak tahan menerima tekanan.

Katanya polis berjaya memujuk wanita itu dan hasil soal siasat mendapati dia dan tiga lagi rakannya telah dianayai oleh majikan.

"Kesemua wanita itu kita benarkan berlindung di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk sementara waktu sebelum dihantar ke kedutaan China di Kuala Lumpur selewat-lewatnya pada Khamis," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri keempat-empat wanita itu.

Seorang daripada wanita itu, Wang Li Mei, 38, berkata majikannya memaksa mereka bekerja 364 hari dalam setahun kecuali pada hari pertama Tahun Baru Cina.

Semalam beliau menghantar SMS kepada majikannya untuk berbincang mengenai tunggakan gaji mereka, dan jika majikannya itu enggan, beliau akan bunuh diri.

"Tetapi dia suruh saya terjun saja dan kemudiannya akan membantu saya menghubungi Kedutaan China nanti," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Wang, yang mempunyai dua anak perempuan berumur empat dan 10 tahun, berkata majikan itu memaksa mereka menyerahkan pasport dan tidak menyediakan asrama untuk mereka.

"Kami hanya diberikan katil yang biasa digunakan untuk mengurut pelanggan di dalam kedai selepas kedai ditutup tetapi majikan akan mengunci dan mengurung kami sampai kedai dibuka untuk beroperasi pada 11 pagi.

"Kami hanya diberikan 45 minit untuk membeli makanan dan keperluan harian setiap dua minggu sahaja. Jika balik lambat, denda RM500 akan dikenakan," kataya.

Susulan kejadian itu, polis menyerbu pusat refleksologi itu pada 9 malam Selasa dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun.

Mohd Hatta berkata siasatan adalah mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain